Lawatan PPD Ke Kilang Kopi Antong

Kopi merupakan minuman yang terhasil daripada proses biji kopi menjadi serbuk dan apabila dicampurkan dengan air panas menjadi kopi O atau kopi hitam. Terdapat pelbagai variasi dan jenis kopi yang terdapat di pasaran atau kedai kopitiam yang terkenal. Menurut nota sejarah, kopi yang pertama telah dicatat sejak abad ke-9 lagi di Ethiopia apabila mereka menanam di kawasan dataran tinggi. Selepas itu, bangsa Arab telah meluaskan perdagangannya sehingga ke Afrika Utara dan penyebaran biji kopi itu telah meluas dari Asia sampai ke pasaran Eropah sebagai minuman harian. Namun, disebalik sejarah kopi di dunia, Malaysia juga merupakan negara Asia yang terkenal dengan minuman kopi sebagai minuman harian sejak dahulu lagi.

 

Menariknya, terdapat juga sebuah kopi yang paling diminati di Taiping ini kerana kilangnya yang terletak di daerah Taiping dan telah lama wujud sebagai pelopor kilang kopi di Malaysia sejak dahulu lagi dan beroperasi sehingga kini. Masyarakat di sini mengenali kilang kopi ini dengan nama Kopi Antong. Kilang Kopi Aun Tong SDN BHD telah ditubuhkan pada tahun 1933 oleh pengasasnya mendiang Encik Tiah Ee Mooi dan telah berkembang menjadi roaster kopi moden yang mampu mengeluarkan 10 tan biji kopi panggang setiap hari. Encik Tiah mencipta resepi kopi O original menggunakan biji kopi tempatan yang diambil dari Banting, Selanggor. Biji kopi ini kemudian diproses menjadi serbuk, dicampur gula dan beberapa bahan rahsia lain untuk melengkapkan kelazatannya. Kini, biji kopi yang digunakan masih lagi dari Banting dan telah juga dicampur dengan beberapa jenis biji kopi lain yang diimport dari negara Indonesia dan Brazil.

 

Kelazatan aroma kopi ini telah menarik minat pihak Pejabat Pendidikan Daerah Taiping untuk datang melihat sendiri cara pemprosesan biji kopi dan mencuba kepelbagaian kopi yang telah dihasilkan oleh Kilang Kopi Antong. Lawatan ini diadakan pada 17 September 2018 dan telah disertai lebih kurang 55 orang pegawai dan staff PPD dengan menaiki sebuah bas serta beberapa buah kereta. Semua pegawai dan staff PPD telah berkumpul jam 9.30 pagi di perkarangan tempat letak kereta PPD dan bertolak jam 9.50 pagi. Jarak PPD ke Kilang Kopi Antong adalah lebih kurang 3 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 5 minit perjalanan. Setibanya di sana, kami telah merasai sendiri bau aroma enak kopi panggang yang menusuk deria bau dan kami telah disambut oleh wakil kilang kopi Antong. Sesi ramah mesra berlangsung antara pihak kilang dengan pegawai dan staff PPD. Seterusnya, sesi taklimat diberikan melalui skrin paparan utama kilang dan pihak kilang membawa melihat setiap proses dan peralatan yang digunakan dalam penghasilan serbuk kopi. Alat yang digunakan masih lagi secara tradisional bagi mengekalkan kelazatan kopi asli Antong. Pihak kilang juga turut memberikan setiap pengunjung yang tiba merasai sendiri hasil produk minuman keluarannya diakhir sesi lawatan. Kami dapat merasai kepelbagaian minuman kopi seperti kopi O, kopi mocha, kopi putih, kopi golden, kopi arabica dan teristimewa kopi perisa durian. Terdapat juga 2 keluaran tea iaitu tea ais limau dan tea lemon yang sesuai untuk detoks.

 

Di sana, para pengunjung dapat membeli terus produk keluaran kilang pada harga yang berpatutan. Sesi lawatan diteruskan lagi dengan majlis penyampaian sijil penghargaan beserta cenderamata kepada wakil kilang Antong. Pihak kilang juga memberikan cenderamata kepada pegawai PPD diatas kesudian melawati kilang mereka. Lawatan ini dapat memberikan ilmu berguna kepada pegawai dan staff PPD tentang cara peprosesan kopi dan khasiat-khasiat kopi terhadap kesihatan. Antara khasiat kopi adalah:

  • Meningkatkan paras tenaga dan membuat kita menjadi lebih cerdas.
  • Membantu membakar lemak dan sumber antioksidan.
  • Mengandungi nutrisi penting untuk badan.
  • Melindungi dari penyakit Alzheimer dan Dimensia.
  • Mengurangi risiko kanser dan strok.
  • Mencegah gigi berlubang dan mengubati depresi.